jump to navigation

Bajet 2008 Bukti Kerajaan Mesra Remaja September 17, 2007

Posted by sinchan in Nasional.
trackback

Go to fullsize imageSTRATEGI KEDUA: MEMPERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN Modal insan berkualiti adalah antara faktor terpenting dalam mempastikan Malaysia mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju. Oleh itu, aspek kualiti pendidikan dan latihan terus diberi penekanan.

·  Memperkasa Sekolah Rendah dan MenengahSejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi Kementerian Pelajaran. Peruntukan ini turut merangkumi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, termasuk Program Sekolah Cemerlang, memartabat profesion keguruan dan merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar. Untuk meningkatkan lagi kualiti dan prestasi sekolah, 60 buah sekolah kluster akan diwujudkan dalam tahun 2008. Peruntukan berjumlah 500 ribu ringgit akan diberi bagi setiap sekolah kluster untuk tujuan aktiviti ko-kurikulum, latihan dan pembelian peralatan pembelajaran.

·  Pendidikan Percuma Untuk SemuaKerajaan komited melaksanakan langkah progresif untuk meningkatkan akses dan mengurangkan kos pendidikan. Pada tahun lalu, saya telah mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Sebagai tambahan, saya ingin mengumumkan yuran peperiksaan bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia akan dimansuhkan. Dengan itu, yang tinggal hanya yuran tahunan sekolah rendah dan menengah. Saya juga sukacita mengumumkan, mulai tahun 2008, yuran sekolah ini turut dimansuhkan.

Saya juga ingin mengumumkan bahawa bermula sesi persekolahan tahun hadapan, Skim Pinjaman Buku Teks akan diperluaskan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak. Peluasan Skim ini akan memberi manfaat kepada 5.7 juta pelajar berbanding 4.5 juta pelajar pada masa ini. Dengan langkah-langkah ini, pendidikan di negara ini adalah seratus peratus percuma.

Penyertaan pelajar secara aktif dalam kegiatan ko-kurikulum, seperti badan beruniform, persatuan dan kelab serta sukan, adalah penting dalam membantu pembentukan sahsiah dan membina kualiti kepimpinan pelajar. Bagi mempastikan bahawa setiap pelajar mendapat peluang untuk melibatkan diri di dalam aktiviti ko-kurikulum beruniform, Kerajaan akan memberi sepasang pakaian seragam percuma bagi satu kegiatan kepada pelajar sekolah daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah seribu ringgit sebulan dan ke bawah. ·  Memartabatkan Profesion KeguruanUntuk mengiktiraf peranan penting guru dan memartabatkan profesion keguruan, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama: Meningkatkan elaun guru pendidikan khas daripada 100 ringgit kepada 250 ringgit sebulan;

Kedua: Menaikkan kadar elaun guru ganti berkelulusan ijazah daripada 85 ringgit kepada 150 ringgit sehari; dan

Ketiga: Menyediakan elaun sebanyak 60 ringgit sejam bagi lepasan ijazah dan 50 ringgit sejam bagi lepasan diploma kepada guru yang mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan.

Guru-guru yang telah bersara masih berupaya menyumbang kepada bidang pendidikan. Pengetahuan dan pengalaman luas mereka harus dimanfaatkan sepenuhnya. Untuk ini, guru-guru pesara akan diambil untuk berkhidmat sebagai guru ganti dan tenaga pengajar untuk guru pelatih. ·  Peranan Badan Amal Dalam PendidikanKerajaan menghargai usaha badan amanah dan pertubuhan amal yang membiayai dan mengurus dengan baik sebilangan sekolah rendah dan menengah. Bagi menyokong usaha tersebut, Kerajaan mencadangkan sekolah-sekolah ini diberikan pengecualian cukai pendapatan. Pengecualian ini akan memberi manfaat, khususnya kepada sekolah Cina dan Tamil serta sekolah agama. ·  Memantapkan Pengajian TinggiPada 27 Ogos lalu, Pelan Strategik Pengajian Tinggi telah dilancarkan. Pelan tersebut bertujuan untuk mentransformasikan sektor pengajian tinggi negara bagi menghasilkan modal insan kelas pertama serta membangunkan institusi pengajian tinggi bertaraf dunia.

Sebanyak 12 bilion ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program, antaranya:

Pertama: Meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan di empat buah Universiti Penyelidikan;

Kedua: Meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi MARA bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang tahun 2010;

Ketiga: Menaik taraf serta memperluaskan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan; dan

Keempat: Menjenamakan semula kolej komuniti melalui penyediaan kursus di peringkat diploma, menubuhkan kolej komuniti baru dan menggiatkan kolaborasi dengan syarikat swasta.

Pada masa ini, lebih 90,000 orang pelajar yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA di universiti tempatan. Walaupun begitu, masih terdapat kekurangan pelajar dalam beberapa bidang khusus. Oleh itu, Kerajaan akan meningkatkan jumlah pelajar Ijazah Pertama yang ditaja oleh JPA di universiti tempatan daripada lima ribu setahun kepada sepuluh ribu orang pelajar mulai 2008. ·  Kenaikan Kadar Biasiswa Kerajaan sedar bahawa kos sara hidup pelajar telah meningkat. Oleh yang demikian, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di semua peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus bahasa. Peningkatan elaun tersebut adalah di antara 23 peratus sehingga 84 peratus. Kadar baru ini berkuatkuasa mulai semester pertama sesi 2007. Lebih 90,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada kenaikan ini.

Pada masa ini, Kerajaan menaja seramai 17,000 ribu pelajar di universiti luar negeri. Kerajaan telah pun meningkatkan elaun sara hidup di Australia, New Zealand, Mesir dan Korea Selatan pada tahun 2006. Kini, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada sehingga 97 peratus, iaitu hampir dua kali ganda, berkuatkuasa September 2007. ·  Mempertingkatkan Program Latihan dan Kemahiran Sejumlah dua bilion ringgit telah diperuntukkan kepada pelbagai agensi latihan kerajaan untuk meningkatkan bilangan dan kualiti pekerja terlatih selaras dengan keperluan pasaran. Daripada jumlah tersebut, 480 juta ringgit diperuntukkan untuk program latihan GiatMARA dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta latihan kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara.

Bagi meningkatkan kapasiti institusi latihan, 550 juta ringgit diperuntukkan untuk menaik taraf politeknik dan kolej komuniti. Sejumlah 750 juta ringgit pula diperuntukkan untuk membina sebuah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Taiping dan sebuah ILP di Marang. Peruntukan ini juga akan digunakan untuk menaik taraf ILP dan ADTEC di seluruh negara dan untuk membina lapan buah MRSM, empat buah IKM dan 28 pusat GiatMARA.

Skop Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan diperluaskan. Kelonggaran akan diberikan kepada syarikat untuk memilih program latihan dan pendidikan lanjutan kepada kakitangan. Bagi tujuan ini, Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001 akan dipinda untuk membolehkan majikan:

Pertama: Mendapat bantuan kewangan bagi melatih pekerjanya sehingga ke peringkat sarjana atau ijazah doktor falsafah, terutamanya dalam bidang teknologi baru dan teknologi tinggi;

Kedua: Mendapat bantuan kewangan bagi melatih pekerja walaupun majikan itu mempunyai tunggakan levi atau tunggakan faedah atas levi; dan

Ketiga: Menyediakan peluang latihan amali di premis mereka kepada pelajar universiti atau pelatih institusi latihan.

Bagi menampung kekurangan pekerja mahir dalam sektor pembinaan, penggunaan tabung Lembaga Kemajuan Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, CIDB akan melaksanakan Program Latihan Masterskills yang meliputi kemahiran dalam pengurusan dan pembinaan fizikal. Bagi tahun 2008, seramai 50 ribu pekerja dalam sektor pembinaan akan dilatih dalam program ini dengan kos berjumlah seratus juta ringgit. ·  Pembelajaran Sepanjang HayatSaya sering menekankan peri pentingnya untuk kita sentiasa menambah nilai pada diri. Bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan rakyat Malaysia, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga 5,000 ringgit ke atas yuran pengajian diperluaskan kepada semua bidang di peringkat pasca ijazah. ·  Penyelidikan, Pembangunan dan PengkomersilanKerajaan akan mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan, terutamanya pengkomersilan penemuan R&D tempatan. Bagi tahun 2008, Dana Sains diperuntukkan 230 juta ringgit dan 300 juta ringgit disediakan untuk Dana Tekno. Selain itu, 546 juta ringgit disediakan bagi program R&D institusi penyelidikan. Untuk memudah dan mempercepatkan pengeluaran dana R&D pertanian, sejumlah 300 juta ringgit dipindahkan daripada baki siling Dana Sains dan Dana Tekno kepada Kementerian Pertanian.

Kerajaan akan terus menyokong aktiviti R&D dan pengkomersilan. Pada masa ini, pembahagian royalti pengkomersilan R&D adalah 50 peratus kepada institut penyelidikan dan baki 50 peratus dibahagi di antara institut penyelidikan dan penyelidik. Untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti pengkomersilan serta untuk memberi insentif lebih baik kepada penyelidik, kadar pembayaran royalti kepada penyelidik ditingkatkan kepada 80 peratus dan baki 20 peratus kepada institut penyelidikan.

Pejabat Perlesenan Teknologi (TLO) telah ditubuhkan di institusi penyelidikan, seperti SIRIM dan Universiti Sains Malaysia. Pejabat ini didapati efektif dalam menyelaras kegiatan R&D serta perolehan paten. Oleh itu, lebih banyak pejabat TLO akan ditubuhkan di pusat penyelidikan dan universiti awam yang lain. ·  Pembangunan Modal Insan ICT Bagi mempastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi menepati permintaan industri ICT, Knowledge Workers Development Institute akan dibangunkan di Cyberjaya. Sebuah Pusat Animasi Digital MSC Malaysia juga akan diwujudkan di Cyberjaya untuk menyokong pembangunan industri animasi digital serta meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang tersebut. ·  Membangun Masyarakat BerpengetahuanSelaras dengan usaha mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan merapatkan jurang digital, satu sasaran utama Kerajaan adalah untuk mencapai kadar penembusan jalur lebar 50 peratus daripada isi rumah menjelang tahun 2010, berbanding dengan 12 peratus pada masa ini. Untuk itu, perkongsian awam dan swasta yang efektif adalah perlu untuk mempercepatkan pelaksanaan peluasan jalur lebar. Satu langkah yang akan dilaksanakan ialah menggalakkan pemaju menyediakan infrastruktur telekomunikasi di kawasan perumahan baru. Kerajaan juga akan meningkatkan pemantauan terhadap kemajuan penyedia perkhidmatan dalam memperluaskan aplikasi jalur lebar.

·  Kerajaan juga mencadangkan:Pertama: Penyedia kemudahan rangkaian sambungan terakhir diberi Elaun Pelaburan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal infrastruktur bagi perkhidmatan jalur lebar sehingga 31 Disember 2010;

Kedua: Pengecualian duti import dan cukai jualan diberikan ke atas peralatan jalur lebar dan peralatan capaian pengguna; dan

Ketiga: Potongan cukai diberi kepada majikan yang menyediakan manfaat komputer baru dan pembayaran langganan jalur lebar bagi kakitangan. Manfaat yang diterima oleh kakitangan juga diberi pengecualian cukai.

Comments»

1. donna - May 3, 2008

mantap kerajaan!


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: