jump to navigation

Dara, Teruna Makin Hilang Nilai June 26, 2007

Posted by sinchan in Renungan.
trackback

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@nstp.com.my

Ada individu utamakan kriteria cinta daripada latar belakang pasangan pilihan

MUNGKIN tiada reaksi terkejut atau tidak percaya jika ada seseorang yang belum berkahwin, tampil mengakui bahawa beliau sudah tidak dara atau teruna lagi pada masa kini. Suatu ketika dulu hal sebegini boleh mengakibatkan orang berkenaan dicerca atau disisihkan masyarakat tapi agak berlainan pada zaman ini, di mana adanya ‘toleransi’ dalam hal ini.  

Kekal dara atau teruna sehingga berkahwin juga tidak lagi menjadi perkara dapat dibangga-banggakan. Begitu juga halnya jika hilang dara atau teruna sebelum berkahwin, bukanlah sesuatu yang begitu dimalukan malah ada pula yang berbangga dengan ‘pencapaian’ begitu.

Usah jadikan kehidupan sebahagian besar masyarakat Barat yang semakin rendah nilainya itu sebagai panduan. Isu kehormatan dianggap remeh malah kebanyakan mereka seolah-olah tidak sabar-sabar lagi hendak mengorbankan keterunaan dan kedaraan mereka pada usia muda.

Bagaimana pula nilai dan kepentingan dara atau teruna dalam masyarakat kita hari ini?Adakah kita masih meletakkannya sebagai ‘pengukur’ nilai kehormatan diri seseorang, baik lelaki mahupun perempuan, ataupun pegangan berkenaan sudah agak longgar kesan daripada kemodenan dan keterbukaan yang dialami masyarakat kini.

Bila menyentuh soal hilang kehormatan sebelum waktunya ini, ia saling bersangkut-paut dengan permasalahan moral seperti seks luar nikah. Pergaulan bebas antara lelaki wanita tanpa menjaga batasan yang sepatutnya, dikenalpasti antara punca yang menyumbang kepada perkara ini.

Atas sebab itulah, dalam mana-mana agama pun, kehormatan diletakkan sebagai aspek kemuliaan diri seseorang. Ia menghalang daripada berlakunya gejala tidak bermoral seperti seks bebas berlaku hingga membawa kepada banyak lagi kesan negatif dalam masyarakat.

Kerana itu juga, dalam ajaran Islam sendiri, perlakuan yang boleh mendorong kepada perbuatan zina lagi sudah ditegah. Malah, dalam konteks memelihara kehormatan ini, tafsiran petikan surah An-Nur (ayat 3), ada diingatkan bahawa orang yang berzina tidak akan berkahwin dengan orang lain selain daripada penzina juga.  

Dalam mencari pasangan juga, persoalan kedaraan dan keterunaan sering diambil kira. Keperawanan disifatkan sebagai hadiah istimewa yang dapat diberikan seseorang kepada teman hidupnya. Soal dara ini memberi kesan besar terhadap keharmonian rumah tangga yang mahu dibina.

Syarat ini juga sering diletakkan sebagai kriteria utama seseorang lelaki dalam memilih bakal isteri mereka walaupun adakalanya yang hendak menyunting dara itu pun bukanlah teruna lagi.

Rata-rata lelaki yang diselidik oleh i-Kon berkata kalau boleh, dalam memilih pasangan hidup, mereka mahukan wanita yang masih terpelihara daranya biarpun ada di antara lelaki ini sebenarnya tidak teruna.

Namun ada juga yang masih sedar diri, berkata mereka akan menerima pasangan yang tidak suci seperti diri mereka.Ada pula si dara atau teruna yang sanggup menerima pasangan yang tidak dara atau teruna asalkan hati sudah saling mencintai dengan alasan, bukan mudah untuk mencari pasangan yang masih dara dan teruna.

“Pun begitu, selalunya ada double standard dalam hal berkaitan kehormatan ini, “ kata Ketua Gerakan Wanita Jemaah Islah Malaysia, Dr Harlina Halizah Siraj.

“Kedaraan seseorang wanita yang sering menjadi bahan bualan jika dibandingkan dengan keterunaan lelaki. Ini kerana dalam hal ini, yang menerima kesannya adalah wanita. Jika berlaku seks sebelum nikah, kesannya dapat dilihat secara fizikal, umpamanya jika wanita itu mengandung sedangkan kesan itu tidak dapat dilihat pada lelaki walaupun mereka terbabit,” kata beliau.

Berkemungkinan juga, ramai wanita tidak kisah menggadai dara mereka sebelum berkahwin kerana yakin dapat mengembalikan dara mereka itu dengan bermacam rawatan ‘pulih dara’ yang semakin banyak ditawarkan. Tapi, seperti yang diberitahu Dr Harlina, sepanjang pengalamannya sebagai pakar ginekologi dan sakit puan, tiada kaedah atau rawatan yang mampu mengembalikan dara seseorang kerana apabila ia tiada sebaik seseorang itu melakukan hubungan seks buat pertama kalinya.Biar apapun persepsi atau pegangan mengenai soal kedaraan dan keterunaan ini, pokok pangkalnya, kehormatan diri adalah hak mutlak individu untuk memeliharanya. Menjaga Kehormatan Diri Bukan KolotDara dan teruna sebagai nilai kehormatan seseorang; ramai yang masih menganggapnya penting namun bilangan yang tidak berpegang prinsip ini lagi juga semakin bertambah.

Demikian kata Ketua Pergerakan Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang juga Pakar Perunding Sakit Puan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Harlina Halizah Siraj, ketika ditanya mengenai isu ini.

Persepsi mengenai hal ini kata Dr Harlina, sebenarnya berubah sedikit demi sedikit tanpa disedari masyarakat.

“Kalau kita lihat kepada permulaannya, iaitu bila wanita mula mempunyai peranan dalam banyak aspek, contohnya ekonomi dan pembangunan.

Peranan itu memerlukan mereka bekerjasama dengan kaum lelaki hingga pergaulan antara lelaki dan wanita sudah dianggap sesuatu yang biasa berbanding perspektif masyarakat pada zaman dulu.

“Sejak itu juga, banyak lagi perkara yang dulunya dianggap suatu kesalahan, kini sudah menjadi kebiasaan. Termasuklah dalam isu ini (kedaraan dan keterunaan).

“Bukanlah bermaksud pembabitan wanita dalam aspek pembangunan negara ataupun masyarakat itu tidak elok tapi setiap perkara itu ada batasannya. Bila batasan tidak dijaga, ia akan mengundang pelbagai implikasi yang buruk,” katanya.

Kata Dr Harlina, dara atau teruna berkaitan dengan harga diri dan maruah seseorang.

Suatu masa dulu, masyarakat cukup memberi penekanan dalam aspek ini.

“Namun, seperti yang kita dapat lihat sekarang, pandangan itu semakin berubah. Penekanan terhadap aspek ini semakin berkurangan dan jika begini senarionya, tidak mustahil dalam tempoh sepuluh tahun akan datang ia semakin berkurangan,” kata Dr Harlina.

Keadaan yang diistilahkan sebagai liberalisasi dalam aspek seks ini juga kata beliau boleh membawa implikasi tidak baik kepada masyarakat pada masa akan datang. Beliau juga bimbang kalau-kalau suatu masa nanti orang sudah tidak kisah lagi soal perkahwinan dan banyak lagi perkara yang jelas menyalahi agama dan budaya tidak diambil kisah.

“Hasil tinjauan yang pernah disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tahun lalu sedikit sebanyak mencerminkan liberalisasi ini. Antara yang diperoleh daripada tinjauan itu adalah ramai responden yang berpendapat tidak salah untuk memeluk dan mencium kekasih serta peratus yang tinggi juga di kalangan responden yang menyatakan tidak mengapa jika hilang dara atau teruna sebelum berkahwin.

“Ia menampakkan trend bahawa sebilangan besar orang kita sudah tidak lagi tegas dalam perkara ini. Seks bebas atau perbuatan yang boleh mendorong kepada perlakuan seks luar nikah tidak lagi menjadi pantang larang malah dianggap suatu kebiasaan.

“Mungkin ini sebahagian daripada ‘kemodenan’ dalam kehidupan hari ini namun percayalah kita terpaksa ‘membayar harga yang mahal’ terhadap tindakan kita waktu ini.

“Apabila kehormatan tidak lagi menjadi keutamaan, ia secara tidak langsung mengundang kepada bermacam gejala seksual yang seterusnya memberi kesan kepada kita semula.

Bila gejala seksual berleluasa pula, semakin bercambahlah masalah, antaranya lahir anak yang tidak jelas keturunan yang mana ada di antaranya dipersiakan begitu saja. ‘Penyakit’ ini jika tidak dibendung mampu membinasakan masyarakat sendiri akhirnya,” ujar beliau.

Justeru, katanya, kita terpaksa menerima hakikat bahawa masyarakat seharusnya berbalik semula kepada prinsip asas kemuliaan diri seseorang manusia dengan meletakkan nilai yang tinggi terhadap kehormatan dan maruah diri termasuklah hal berkaitan dengan kedaraan dan keterunaan ini.

“Jangan ingat bila kita berpegang kepada prinsip seperti ini menunjukkan kita kolot. Hakikatnya, prinsip ini amat penting dalam menjanjikan keharmonian dalam kehidupan manusia,” katanya.

Info Siapa, bila di mana dan bagaimana

  • Di India, rata-rata remaja lelaki berusia lingkungan 17 tahun hilang keterunaan mereka kepada saudara perempuan mereka seperti ibu saudara, sepupu atau kakak ipar mereka. Begitu juga di Romania, kebanyakan ibu selalunya mengaturkan pengalaman seksual pertama anak mereka dengan kenalan atau jiran wanita yang lebih berusia.
  • Ramai lelaki Jepun yang kehilangan teruna mereka di tempat pelacuran yang digelar soapland. Di tempat ini, pengunjung lelaki akan bermandi buih bersama pelacur sebelum melakukan seks.
  • Dalam budaya masyarakat di sesetengah tempat di Asia Barat pula, pasangan yang baru berkahwin akan diberikan tempat khusus untuk melalui malam pertama mereka. Pengantin lelaki juga akan mempamerkan kepada tetamu, saudara dan kenalan, kain putih yang mempunyai kesan darah sebagai tanda mereka mengahwini seorang perawan.
  • Di kebanyakan negara sekitar Asia juga, menjadi satu kepentingan bagi seseorang untuk mengahwini seorang yang masih teruna atau dara.
  • Purata umur seseorang melalui pengalaman seks pertama
  • 1 China (21.9)
    2 Taiwan (21.4)
    3 India (20.8)
    4 Amerika Syarikat (16.4)
    5 Brazil (16.5)
    6 Perancis (16.8)

    Sumber : Majalah Marie Claire (2001)

    Comments»

    No comments yet — be the first.

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: