jump to navigation

Keseronokan sementara jejas pertimbangan akal waras June 7, 2007

Posted by sinchan in Renungan.
trackback

Oleh Wan Esma Wan Ahmad (Jakim)

IKATAN perkahwinan adalah fitrah manusia untuk hidup berkeluarga dan berkasih sayang, bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW, bermaksud: “Wahai anak muda, sesiapa daripada kamu yang berupaya untuk berkahwin, maka berkahwinlah dengan segera. Sesungguhnya perkahwinan itu boleh mengawal penglihatan dan perasaan syahwat tetapi sesiapa yang tidak mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu boleh menahan syahwat.”

Malangnya, saluran yang betul ini tidak digunakan, malahan ada segolongan yang melakukan perbuatan merosakkan akhlak seperti berzina, melacur, seks bebas dan seumpamanya.  Perbuatan ini sebenarnya adalah di luar fitrah manusia sendiri dan menyalahi undang-undang negara serta mengundang dosa besar. Sebenarnya, istimewanya seorang Muslim dilihat apabila dapat menjaga maqasid syariah iaitu agama, akal, nyawa, harta dan keturunan (maruah).

Islam menyanjung keturunan (maruah) supaya mereka menghargai diri dan keturunan mereka dengan melahirkan generasi yang bersih keturunannya.

Zina secara jelas perbuatan yang buruk, sudah ada dalilnya iaitu larangan mendekatinya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.”  Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya orang yang berzina itu dibangkitkan ke hari kiamat, kemaluan mereka bernyala-nyala mengeluarkan api.”

Perhatikan corak kehidupan masyarakat hari ini, banyak kebebasan yang mampu dikecapi oleh manusia, termasuklah dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Dengan sebab itu, adalah menjadi kewajipan Muslim hendaklah sentiasa menjaga akhlak dan peribadi mereka sendiri serta orang di bawah tanggungan mereka daripada menyalahgunakan kebebasan dalam pergaulan seharian, kerana ia juga faktor yang mampu menyumbang kerosakan kepada diri dan keturunannya.

Sekiranya manusia mengisi masa hidup ini dengan perbuatan dosa dan maksiat, jelas mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap diri dan keturunannya seperti menular virus HIV, penyakit AIDS, gonorea, sifilis, luka, bisul pada alat kelamin dan lain-lain yang tidak kurang bahayanya.

Tambahan pula lahir anak tidak berdosa (anak zina) yang kadang-kadang dibuang pula. Mahukah kita menjadi orang yang gagal dalam kehidupan ini?

Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun. Ayat 1 -10 yang bermaksud;

 Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman.

Mereka yang khusyuk dalam sembahyang.

Mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia.

Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).

Dan mereka yang menjaga kehormatannya.

Kecuali kepada isterinya dan hamba, maka sesungguhnya mereka yang tercela.

Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang melampaui batas.

Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.

Merekalah yang layak mewarisi.

Yang akan mewarisi Syurga Firdaus mereka kekal di dalamnya.

Larangan agama menjauhi perbuatan yang merosakkan generasi banyak kelebihannya yang boleh dilihat berbanding mengingkarinya.  Manusia yang berakhlak mulia, akan dapat menjaga kehidupannya daripada melakukan perkara yang sia-sia saja terutama dalam mengejar keseronokan sementara.

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Tidak ada gunanya kemajuan dan kemewahan dunia semata-mata sekiranya manusia lalai dan lupa akan tanggungjawab mereka.  Sebagai khalifah sepatutnya merekalah dapat menilai yang mana baik dan buruk sesuatu perkara dan seterusnya mentadbir bumi dengan akal dan bukannya nafsu.

Petikan Berita Harian, 7 Jun 2007

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: