jump to navigation

Tazkirah Remaja: Keimanan mantap lahir sifat amanah September 19, 2007

Posted by sinchan in remaja, Renungan.
trackback

SAIDATINA Khadijah memilih Nabi Muhammad s.a.w membawa dagangannya ke Syam kerana kemahiran perniagaan baginda dan sifat amanah yang sebati dengan baginda yang dikenali sebagai al-Amin.

Sifat ini tidak dimiliki pada peniaga lain di Makkah. Modal yang penting ini amat diperlukan dalam menguruskan soal kewangan, maklumlah tidak ramai orang selamat dengan ujian duit yang kadang-kadang “berhantu.”

Sebelum punya apa-apa, ramai orang selamat dan boleh dipercayai tetapi jika duit depan mata ramai yang menjadi ‘buta’.

Sifat amanah datangnya daripada dorongan iman. Bukan sebarang iman, tapi iman yang merasakan diintip oleh ‘kamera Ilahiyyah’ sahaja yang akan melahirkan amanah.

Perkataan iman melahirkan al-Amin dan dari sini lahirlah perkataan ‘al-Aman’, kemudian melahirkan al-Amanah.

Maknanya, iman yang mantap akan membuatkan seseorang punya prinsip dan mempertahankan kejujuran.

Kejujuran adalah mahkota keperibadian seseorang. Apabila ada prinsip maka lahirlah adab dan jika adab ini dapat diulangi ia akan menjadi sebati.

Apabila sebati ia akan menjadi tabiat. Bila sudah nampak sangat dan dirasai, bila bergaul secara spontan terdetik untuk ‘cop’ dengan gelaran al-Amin. Manakala orang al-Amin sahajalah yang akan membawa al-Aman.

Al-Aman maknanya selamat. Selamat daripada menyusahkan orang, selamat apabila amanah diserahkan.

Bila iman bermasalah, sekadar iman ilmu hanya berteori, maka tidak ada aman lagi. Bila tidak aman, maka tidak boleh harap. Orang yang tidak boleh harap kerana sudah tiada amanah.

Tiga perkataan ini sangat berkait tanpa satu yang lain tidak akan terlihat. Hari ini kita dengar cerita mengenai penyelewengan dan korupsi. Ia bukan masalah sosial sahaja tetapi iman yang mandul.

Iman yang hanya tersimpan dalam bentuk maklumat bukannya iman di hati yang merasa “diperhati.” Orang yang ditimpa penyakit khianat tidak layak memegang jawatan.

Jika Allah sudah tidak diendahkan lagi apa lagi ketua yang tidak punya kepakaran untuk memantau pekerjanya sepanjang masa lagi mudah ditipu. Hendak memperbetulkan sifat amanah mesti diperbetulkan dulu iman.

Kita dengar ada cerita soalan peperiksaan bocor. Sepatutnya biar pecah di perut dan tidak pecah di mulut menjadi wirid dan zikir kepada penjaga amanah.

Sekarang di perut pun sudah jadi najis manakala yang di mulut pun tersembur keluar, yang rahsia sudah tidak menjadi rahsia lagi. Semua orang sudah tahu.

Sebenarnya harta adalah amanah, jawatan adalah amanah, anak-anak adalah amanah, masa adalah amanah, kemaluan adalah amanah, keremajaan juga amanah.

Saidina Umar pernah menguji seorang pengembala kambing yang mengambil upah menjaga kambing-kambing di padang pasir.

“Boleh tak kalau pakcik nak beli kambing-kambing ini,” kata Umar. Gembala itu menjawab: “Tidak boleh kerana ini bukan kambingku.”

Kata Umar: “Bolehlah aku beli sebab tuan kau tak ada, tak nampak dan tak tahu kau jual kambing ini.”

Berkata gembala itu: “Tidak boleh kerana walaupun tuan aku tak tahu dan tak nampak tapi Tuhan tuan aku tahu dan nampak.”

Begitulah jika rasa berTuhan ada dalam diri nescaya amanah yang dipikul dan dijunjung tidakkan punah.

Dipetik dari Harian Metro 19 September 2007

About these ads

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: